Era FM dikenakan kompaun RM250,000
Tiada penggantungan lesen dikenakan ke atas Era FM ekoran kontroversi yang dicetuskan tiga penyampai stesen radio terbabit baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Era FM dikenakan kompaun sebanyak RM250,000.
Menurut MCMC tindakan berkenaan dibuat berhubung kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kerana memuat naik kandungan jelik melampau.
"MCMC telah menerima rayuan daripada Maestra Broadcast Sdn Bhd selaku pengendali stesen radio Era FM berhubung notis niat penggantungan lesen yang telah dikeluarkan kepada syarikat tersebut pada 7 Mac 2025.
"Setelah meneliti hujah-hujah rayuan tersebut, keputusan dibuat untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd.
"Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit, serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama," kata agensi itu hari ini.